I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, May 22, 2008

Nakhbah di Palestin

(Sempena 60 tahun Nakbah (malapetaka) pembentukan Negara Haram Israel sejak 15hb Mei 1948 )

Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.

NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB.

Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Pencetus penubuhan negara Yahudi

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Israel) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Zionis di Palestin.

Pemangkin pendudukan haram Yahudi di bumi Palestin

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa. Dengan angkuhnya deklarasi ini telah menidakkan hak dan aspirasi penduduk bumi Palestin yang sah yang kemudiannya telah diikuti dengan penjajahan Palestin oleh tentera British.

Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

Tertubuhnya Israel adalah Malapetaka Palestin

Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dan bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.


Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.

Jenayah Ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.

Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.

dipetik dari: http://www.darulbayan.com

No comments: