I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, May 22, 2008

Daulat Tuanku


Agong Mahu Mufti Turut Serta Pada Setiap Persidangan Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR 21 Mei — Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenankan agar mufti dan timbalan mufti menyertai setiap persidangan Majlis Raja-raja serta semua mesyuarat kerajaan negeri dan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata perkenan baginda itu selaras dengan usaha menaik taraf dan memberi pengiktirafan kepada institusi mufti sebagai penasihat agama dan undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri.

“Mufti adalah institusi yang sangat penting dalam masyarakat sebab itu Tuanku menitahkan supaya institusi mufti ini dipertingkatkan dengan diberi input yang mencukupi bagi menyelesaikan isu.

“Perkenan ini juga membuktikan institusi mufti masih mendapat perhatian dan kepercayaan bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga pihak pentadbiran tertinggi negara,” kata Abdul Shukor kepada Bernama selepas majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Semua mufti hadir kecuali Mufti Selangor dan Mufti Pahang yang masing-masing terlibat dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri. Mereka diwakili timbalan mufti.

Turut sama menghadap ialah empat daripada enam anggota jawatankuasa bukan dari institusi mufti yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyertai Majlis Fatwa Kebangsaan terdiri daripada pakar bidang agama dan kehakiman.

Abdul Shukor berkata Yang di-Pertuan Agong turut mencadangkan agar mufti atau wakil mereka memberi taklimat atau maklumat kepada mesyuarat pasca Majlis Raja-raja mengenai sebarang isu berbangkit.

“Yang di-Pertuan Agong juga mahukan satu pandangan yang konkrit yang disepakati semua ahli majlis fatwa dan dikemukakan kepada Majlis Raja-raja untuk dipertimbangkan, apa juga isu, sama ada isu semasa atau berkaitan agama,” katanya.

Abdul Syukor berkata perlu ada satu institusi penyelidikan dan juga mereka yang pakar untuk memberi input kepada semua mufti bagi memahami isu-isu tersebut sebelum mengeluarkan fatwa.

Katanya baginda juga mahu mufti menasihatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam isu yang berkaitan masalah sosial dan hiburan yang melampau.

"Jadi ini satu peluang yang dapat, InsyaAllah, kita kemukakan dengan kertas kerja yang konkrit dan juga pandangan-pandangan yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata bahawa sebelum ini kebanyakan pandangan disalurkan melalui Jakim dan Majlis Kebangsaan Islam serta saluran-saluran yang lain.

dipetik dari http://al-ahkam.net

No comments: