I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, November 19, 2010

Nafar Awwal

Soalan
Apakah yang dikatakan nafar awal dan nafar thani?

Jawapan
Nafar awal ialah beredar meninggalkan Mina lebih awal iaitu bermalam hanya dua malam dan melontar hanya dua hari iaitu 11 dan 12 Zulhijjah.

Nafar thani ialah bermalam 3 malam dan melontar 3 hari iaitu pada 11,12,13 Zulhijjah.

Soalan
Apakah syarat-syarat nafar awal?

Jawapan

Syarat nafar awal ialah setelah bermalam dua malam, malam 11 dan 12 dan melontar dua hari 11 dan 12 Zulhijjah serta berangkat keluar dari Mina sebelum Maghrib hari 12 Zulhijjah.


Sesiapa yang tidak mabit pada malam sebelumya atau malam ke 12 maka tidak boleh untuk melakukan nafar awal.

Kecuali orang yang mempunyai keuzuran maka dibolehkan juga baginya untuk melakukan nafar awwal walaupun tidak mabit satu malam atau dua malam sebelumnya.

Tetapi hasil perbincangan dengan guru agama tabung haji malaysia,mereka sama sekali tidak membenarkan nafar awwal sekiranya tidak mabit di Mina semalam atau dua malam sama ada dengan ada keuzuran atau tidak.

Wallahu 'Alam.

Soalan
Siapakah yang dibenarkan untuk tidak mabit di Mina?

Jawapan

Mereka yang bertugas untuk membekalkan air di Mina dan mereka yang mempunyai binatang ternakan untuk disembelih pada hari-hari tasyrik dan juga orang uzur .


Soalan
Manakah yang lebih afdhal sama ada nafar awal atau nafar thani?

Jawapan


Nafar thani lebih afdhal kerana ia dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa haji wada'.

Perhatian :

Ini adalah hasil pembacaan ana mengikut pendapat yang kuat dari mazhab Syafie.Andai ada pendapat lain sama ada dari mazhab Syafie atau pendapat dari mazhab-mazhab lain yang lebih kuat,ana amat mengalu-alukan untuk dikongsi bersama di sini.

Friday, July 23, 2010

Fadhilat dan Bid'ah bulan Sya'aban

Alhamdulillah hari ini dapat kembali solat Jumaat di tanah haram yang penuh barakah, Makkah al Mukarramah. Seperti biasa aku taraddud nak solat Jumaat di mana.Masjidharam? Masjid Faqih pula yang jaraknya lebih kurang 7km pergi,7km pulang=14km agak jauh tu.Tambah-tambah dengan kenaikan minyak petrol oleh Najib ini agak memeningkan kepala,tetapi di sana khutbahnya agak istimewa dan memberi kesan pada jiwa. Emm,atau solat kat Masjid tak jauh dengan rumah aku. Petrol tak habis,boleh jalan kaki aje.

Lalu aku mengambil keputusan ke Masjid Faqih kerana hendak tahu infomasi terbaru daripada Imam yang juga tok guru aku di jamiah merangkap Yang dipertua Majlis Perbandaran Bandar Aziziah Syeikh Doktor Ahmad Al Murai'.Rasanya tak perlu aku nak mengira dengan Allah Ta'ala petrol dan waktu perjalanan.Tak patut kita mengira dengan Allah Ta'ala.Nanti tak pasal-pasal Allah mengira dengan aku,kat mana aku nak hidup…huhuhu.

Pergilah aku gedek-gedek dengan Ferrari buruk aku ke sana.

Alhamdulillah seperti yang dijangka,Dr Ahmad Murai' membaca khutbah Jumaat pada minggu ini.Berbunga hati aku.Harap-harap syeikh akan menceritakan tentang fadhilat bulan Sya'aban pula.

Alhamdulillah Allah memperkenankan harapan aku apabila syeikh bercakap tentang tajuk yang aku tunggu-tunggukan.Kisahnya begini.

Al Fadhil Syeikh memulakan dengan pujian kepada Allah Ta'ala dan bersyukur kerana Allah menemukan kita pada bulan yang cukup agung iaitu bulan Sya'aban.Bulan yang mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Oleh sebab itu Rasulullah S.A.W dan para salafus soleh amat mengambil berat tentang kelebihan bulan ini kerana ianya mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah Ta'ala.

Kalau kita kembali kepada sejarah Rasulullah S.A.W di mana Baginda telah berpuasa penuh pada bulan ini kecuali sehari atau dua hari Rasulullah S.A.W tidak berpuasa.Begitu juga para sahabat dan salaful soleh yang datang selepas zaman Baginda,mereka meningkatkan amalan mereka terutama memperbanyakkan puasa pada bulan ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW.

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم وما رأيت رسول الله استكمل صيام شهر إلا رمضان وما رأيته أكثر صياما منه في شعبان… رواه البخاري ، ومسلم،

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kami menyangka baginda tidak akan berbuka, dan apabila baginda berbuka, kami menyangka baginda tidak akan berpuasa lagi, dan aku tidak melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan kecuali pada bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda berpuasa pada hari yang paling banyak melainkan pada bulan Syaaban. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tetapi sayang,sejak dahulu sehingga kini,umat Islam lalai dan tidak ambil endah tentang kebesaran dan kelebihan yang ada pada bulan Sya'aban ini.Suatu hari ada seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W kenapa Baginda banyak berpuasa pada bulan Sya'aban ini.Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

ذاك شهر بين رجب و رمضان غفل الناس عنه فيه

Maknanya:bulan tersebut(Sya'aban) adalah di antara Rejab dan Ramadhan yang manusia lalai padanya.

Sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi para sahabat lalai dan tidak embil endah tentang kelebihan bulan Sya'aban sehinggakan mereka pelik melihat Rasulullah S.A.W memperbanyakkan ibadah pada bulan yang mulia ini sama ada ibadah puasa,solat dan sebagainya.Di mana para sahabat bersungguh-sungguh dalam beribadah pada bulan Rejab kerana ia bulan haram dan bersungguh-sungguh juga pada bulan ramadhan kerana ia penghulu segala bulan.Bulan Sya'aban mereka lalai untuk menambahkan ibadah.Sehingga sekarang pada zaman kita ini umat Islam tidak juga mengambil endah kebesaran beribadah pada bulan ini.Kita tengok ramai dari kalangan kita yang tidak tidur pada waktu malam tetapi tidak solat walaupun dua rakaat solat tahajjud.Apa salahnya kalau kita ajak ahli keluarga kita untuk berkumpul bersama dengan tutup seketika television dan solat berjemaah bersama keluarga solat tahajud.Kemudian apabila hampir Subuh ajaklah mereka bersahur untuk puasa sunat keesokan hari.(betul2 kena atas kepala aku)

Kenapa Rasulullah S.A.W memperbanyakkan ibadah pada bulan Sya'aban ini?Apakah kelebihan bulan yang mulia ini?

Rasulullah S.A.W menyebutkan dalam satu hadith baginda:

عن أسامة بن زيد رضي الله عنهما قال: قلت يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من شعبان، فقال: ذاك شهر تغفل الناس فيه عنه، بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، وأحب أن يرفع عملي وأنا صائم… رواه النسائي.

Maksudnya :Dari Usamah bin Zaid RA berkata:Aku telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W katanya:Wahai Rasulullah S.A.W,aku tidak melihat Engkau berpuasa pada bulan-bulan yang lain sebagaimana Kamu berpuasa pada bulan Sya'aban.

Rasulullah S.A.W menjawab: bulan tersebut(Sya'aban) adalah di antara Rejab dan Ramadhan yang manusia lalai padanya.Ia ialah bulan diangkat amalan-amalan(hambaNya) ke sisi Allah Ta'ala.Dan aku suka amalan-amalan aku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.direkodkan oleh an Nisai.

Maksudnya di sini Allah Ta'ala telah mengangkat amalan-amalan hambaNya pada bulan Sya'aban.Di mana ada amalan yang diangkat oleh Allah Ta'ala setiap hari iaitu pada waktu Subuh dan Asar,ada yang diangkat setiap minggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis dan ada amalan yang diangkat sekali setahun iaitu pada bulan Sya'aban.

Rasulullah S.A.W suka ketika amalan Baginda diangkat ke sisi Allah Ta'ala dalam keadaan Baginda berpuasa.Oleh sebab itu Rasulullah S.A.W banyak berpuasa pada bulan Sya'aban dan hari Isnin dan Khamis.

Dan dikatakan juga bahawa puasa sehari pada bulan ini menyamai puasa dua hari di bulan yang lain kecuali puasa Ramadhan.

Bulan ini juga dikenali oleh para salafu soleh sebagai bulan mengaji al Quran.Di mana mereka membaca dan tadabbur al Quran lebih daripada bulan-bulan yang lain selepas daripada bulan Ramadhan.

Ini kerana ia adalah persediaan awal menyambut bulan Ramadhan.Apabila datang bulan Ramadhan,badan kita sudah bersiap sedia untuk kewajipan ibadah puasa Ramadhan yang maha besar.Begitu juga bila sudah tiba Ramadhan,jiwa sudah tidak berat untuk membaca dan tadabbur al Quran.Dan diri sudah tidak berat untuk perbanyakkan solat malam dan solat tarawih kerana sudah mendapat latihan yang cukup pada bulan-bulan sebelumnya.

Kalau kita tengok orang yang bertani,mustahil mereka mendapat hasil tuaian yang banyak andai kata dalam satu bulan hendak menabur,membaja dan menuai.

Oleh sebab itu ada ulama' mengatakan bahawa bulan Rejab ialah bulan menabur,bulan Sya'aban bulan membaja dan bulan Ramadan bulan menuai.

Bagi mereka yang sudah bersiap sedia menyambut ramadhan dengan memperbanyakkan puasa dan solat sunat pada bulan sebelumnya maka ia akan mendapati kemanisan beribadah pada bulan Ramadhan.

Antara kelebihan bulan Sya'aban lagi ialah malam 15 Sya'aban.Disebutkan dalam hadith yang telah disohihkan oleh Syeikh Muhaddith Albani bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

( إن الله يطلع في ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن )

Maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala telah meninjau (hamba-hambaNya) pada pertengahan bulan Sya'aban maka Allah mengampunkan semua dosa makhluk-makhlukNya kecuali orang yang syirik (kepada Allah) dan bergaduh (sesama manusia)".

Pada malam 15 Sya'aban Allah akan mengampunkan semua dosa-dosa hamba-hambaNya kecuali orang syirik kepadaNya dan yang bermusuh sesama manusia.Maka di bulan yang mulia ini marilah kita bermaafan sesama saudara mara,sahabat handai semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang diampunkan dosa oleh Allah Ta'ala.

Di bulan Sya'aban juga kita digalakkan untuk mengeluarkan zakat dan memperbanyakkan sedekah sebagaimana Imam Syafie berkata:"Aku amat suka jika orang kaya mengeluarkan zakat mereka kepada fakir miskin di akhir bulan Sya'aban untuk memberi kekuatan ekonomi kepada fakir miskin di bulan Ramadhan nanti".

Maka sama-samalah kita memperkasakan ibadah kita kepada Allah Ta'ala di bulan yang mulia ini yang amsih berbaki beberapa minggu.

Masuk khutbah yang kedua.

Syeikh memulakan khutbah dengan membacakan hadith yang masyhur iaitu:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ بَعْدِي الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ ، وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ , وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ "

Maksudnya: "Hendaklah(WAJIB) kamu mengikut sunnah Aku dan Khalifah-khalifah yang datang selepas daripada aku yang mendapat petunjuk ,dan gigitlah sunnah (Aku dan para khalifah) dengan gigi gerham(iaitu bersungguh-sungguh dalam mempraktikkan sunnah),Jauhilah daripada melakukan perkara-perkara baru(dalam ibadah) Sesungguhnya setiap perkara baru(dalam ibadah) ialah Bid'ah".

Sesungguhnya agama Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W ini adalah agama yang telah diredhai oleh Allah Ta'ala,telah diturunkan secara sempurna oleh Allah Ta'ala dan diajarkan kepada kita secara menyeluruh oleh Rasulullah S.A.W .Di mana ia tidak perlu untuk dicipta ibadah yang baru untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian daripada kita.

Dalam kesungguhan kita menyambut bulan Sya'aban yang mulia ini ada yang melampau-lampau sehingga mencipta hadith-hadith palsu tentang fadhilat amalan pada bulan Sya'aban ini.

Antaranya ada yang mengatakan bahawa pada 15 Sya'aban hendaklah 'Solat alFiyah' iaitu solat seribu.Solat ini dilakukan antara maghrib dan Isya' pada 15 Sya'aban sebanyak 100 rakaat.Setiap rakaat dibaca selepas surah al Fatihah 10kali surah al Ikhlas.Di mana dibaca 1000kali semuanya surah al Ikhlas dalam solat tersebut.

Sesungguhnya hadith yang mengsyariatkan solat ini adalah hadith Munkar dan Maudhu'(palsu) yang sama sekali tidak boleh diamalkan atau dibawa berhujah!

Begitu juga solat enam rakaat antara Maghrib dan Isya' pada 15 Sya'aban adalah ibadah yang tiada sumber dalam agama kita.Tidak patut sama sekali kita melakukannya kerana ia adalah satu pembohongan kepada Rasulullah S.A.W.Rasulullah SAW tidak pernah mengajarkan kepada para sahabat ibadah yang sedemikian rupa tetapi datang orang yang selepasnya mereka hadith dan menasabkan kepada Rasulullah S.A.W!

Ada orang berhujah bahawa datuk nenek kami melakukan yang demikian itu!

Bertakwalah kamu kepada Allah!Sesungguhnya ibadah bukan atas rekaan manusia tetapi ia mestilah bersumberkan daripada Al Quran dan al Hadith!

Masih adakah orang yang lebih rapat dengan Allah Ta'ala selain daripada Nabi kita Muhammad SAW?Maka jika kita hendak mendekatkan diri kepada Allah maka ikutlah sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W dan jangan sama sekali mereka-reka ibadah kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.Sesungguhnya melakukan ibadah yang direka oleh manusia tidak ada nilai dan harga di sisi Allah Ta'ala sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد. (رواه البخاري ومسلم)

Maknanya :“Sesiapa yang mereka-reka dalam urusan kami ini (agama) satu perkara yang bukan daripadanya (ajarannya), maka ia (perkara tadi) ditolak (tidak diterima Allah)”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim .

Hendak kita mendekatkan diri kepada Allah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.Janganlah kita termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah di akhirat nanti padahal di dunia ia seorang yang banyak beramal tetapi amalan tersebut tidak ada nilai di sisi Allah sama seperti debu-debu yang bertebangan.

Wallahu 'Alam

Monday, July 19, 2010

Persoalan Tawaf Wada' lagi

Hari ini dapat satu panggilan yang bertanyakan tentang tawaf wada'.Adakah ia satu kewajipan atau sekadar ibadah sunat sahaja yang tidak menjadi masalah untuk meninggalkannya.Sekiranya mengatakan bahawa ia adalah wajib maka dikenakan dam jika tidak melakukannya.

Katanya beliau telah merujuk kitab Fathul Qarib syarah Matan Abi Syuja' dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa tawaf wada' adalah termasuk dalam perkara-perkara sunat haji dan bukannya wajib sebagaimana yang didakwa oleh kebanyakan ustaz-ustaz terutamanya ustaz tabung haji yang mengatakan bahawa ia adalah wajib.

Oleh sebab itu beliau berpendapat tawaf wada' adalah sunat.Lebih-lebih lagi dengan dalil bahawa Rasulullah S.A.W hanya pada haji wada' melakukan tawaf tersebut, tidak pada sebelum-sebelumnya.

Dengan tidak mewajibkan kepada orang yang ada uzur syar'ie untuk melakukannya lebih menguatkannya untuk tidak mewajibkan tawaf wada'.

Aku mendengar dengan penuh khusyu'.

Emm…macam mana aku nak bagi respon ni?

Pakcik ni nak jawapan daripada aku tentang tawaf wada' atau nak supaya aku ubah apa yang beliau pegangi sekarang ini kepada wajib atau hendak menguji aku?

Tapi aku segera berfikiran positif,mungkin pakcik ini hendak kepada perbincangan ilmiah tentang tajuk yang beliau fikirkan sekarang so layanlah dengan perbincangan yang positif dan ilmiah.

Pertama sekali aku berfikir adakah beliau orang awam atau seorang penuntut ilmu atau seorang guru yang lebih hebat daripada aku.

Kalaulah dia seorang awam elok tanya padanya adakah beliau pernah bertanyakan masalah ini kepada mana-mana ustaz kerana aku pernah baca dalam "Majmu' fatawa li haiah kibar ulama"(buku ini ialah himpunan fatwa-fatwa kontemporari yang dibincangkan oleh ulama kontemporari abad ini di mana ia di up to date setiap tahun.aku sarankan sahabat-sahabat yang bergelar ustaz wajib ada buku ini.Kalau tak silap aku,yang tahun lepas dah masuk jilid 30) tentang soalan yang mereka bincangkan tentang tawaf wada'.Aku sungguh kagum dengan jawapan para ulama' ini di mana mereka mengatakan bahawa masalah tawaf wada' ini ulama' berselisih pendapat tentang hukumnya mengikut ijtihad mereka masing-masing.Perselisihan pendapat ini telah diketahui oleh semua ulama.Ada yang dicatatkan dalam syarah-syarah kitab hadith,ada yang dalam kitab fiqh dan ada yang dalam kitab haji dan umrah.Mereka mengtarjihkan pendapat mereka mengikut dalil yang kuat di sisi mereka masing-masing.Tetapi yang utama hendaklah sentiasa berjaga-jaga dalam ibadah ini dengan mengikut panduan yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W : خذوا عني مناسككم)))): "Ambillah daripada aku ibadah kamu".

Disebutkan dalam fatwa ini suatu pendapat yang cukup menarik hati aku di mana mereka berkata:"Dalam masalah khilafiah ini bolehlah orang awam untuk bertanyakan hukum ini kepada orang yang diyakininya dalam ilmu agama dan amanahnya pada agama yang suci ini dan bolehlah dia berpegang pendapat tersebut mengikut gurunya sama ada ia mengatakan wajib maka jadi wajiblah ia,jika berkata sunat maka sunatlah ia.Sesungguhnya mazhab orang awam adalah mazhab orang yang memberi fatwa kepadanya daripada orang yang pakar,khusus belajar dalam bidang agama ini."

Tetapi aku rasa pakcik ini orang belajar agama dan terdedah kepada sumber ilmu sama ada lambakan buku agama atau maklumat di hujung jari.

Kemudian aku mengutarakan pendapat aku bahawa tawaf wada' merupakan kewajipan bagi setiap orang yang hendak meninggalkan Baitillahil haram.

Ia berdalilkan kepada hadith sohih yang diriwayatkan oleh Imam bukhari dan Muslim:

وَعَنْ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: ( أُمِرَ اَلنَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرَ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ, إِلَّا أَنَّهُ خَفَّفَ عَنِ الْحَائِضِ ) مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Maksudnya: Dari Ibnu Abbas RA berkata: "Sekalian manusia diperintahkan agar perkara terakhir (yang mesti dilakukan) adalah tawaf di Baitullah, tetapi diberikan kelonggaran bagi perempuan haid. Muttafaq Alaihi.

Di sini telah jelas bahawa Rasulullah S.A.W telah mewajibkan kepada kita semua sebelum meninggalkan Ka'abah hendaklah tawaf Baitillah kecuali bagi sesiapa yang ada uzur syari'.

Dalam hadith ini menyebutkan 'diperintahkan kepada manusia'.Yang memerintahkannya ialah Rasulullah S.A.W.Perintah di sini membawa hukum wajib bukannya sunat.

Tentang dalam buku Fathul Qorib syarah matan Abi Syuja' yang menyebutkan bahwa ia sunat.Cuba buka Hasyiah Baijuri yang menjadi syarah kepada kitab Fathul Qorib tersebut secara jelas mengatakan pendapat itu adalah pendapat lemah dalam mazhab kita di mana pendapat kuat dalam mazhab Syafie ialah wajib mengerjakan tawaf wada'.

Persoalan bahawa Rasulullah S.A.W mengerjakan hanya sekali dalam hidup Baginda tidak boleh dibangkitkan kerana kita kena menerima hakikat bahawa syariat nabi Muhammad SAW adalah tadarruj (berperingkat-peringkat).Ya,sebelum daripada haji wada' adalah tidak wajib tetapi selepas daripada peristiwa tersebut Allah hendak wajibkan tawaf tersebut.

Ini kerana hikmah atau kenapa tawaf wada' adalah wajib kerana ia adalah antara cara-cara mengagungkan rumah Allah ini. Sebagaimana diwajibkan kepada orang yang hendak mengerjakan haji untuk tawaf qudum (selamat datang) atau tawaf umrah sebagai tahiyyat (penghormatan rumah Allah ini).

Begitu juga diwajibkan tawaf wada' (selamat tinggal) untuk meninggalkannya.

Kemudian aku suruh dia pergi pada artikel yang telah aku tulis suatu masa dahulu tentang permasalahan tawaf wada' ini dalam blog aku.

http://baijurie.blogspot.com/2009/12/tawaf-wadawida-persoalan-dan-rungkaian.html

Wallahu 'alam

Tuesday, June 22, 2010

fadhilat bulan Rejab

Alhamdulillah hari ini dapat kembali solat jumaat di Masjid Faqih,Aziziah Makkah al Mukarramah di mana imamnya adalah syeikh ana semasa belajar di jamiah(universiti). Kalau dulu semasa tinggal di hostel,bila tiba hari jumaat memang berat hati nak pergi solat jumaatdi masjidHaram kerana sayang nak tinggal khutbah Jumaat oleh syeikh ana iaitu Doktor Ahmad al Muraai di mana khutbahnya penuh dengan nasihat, tarbiyah diri,keluarga dan masyarakat dan sentiasa up to date dgn isu semasa sama ada dalam negara dan dunia.

Hari ini beliau bercakap tentang fadhilat bulan Rejab yang amat menyentuh hati ana dan juga semua jemaah yang ada..InsyaAllah ana akan kongsi serba sedikit atau intipati yg masih ana ingat berkenaan khutbah Jumaat tadi untuk faedah bersama.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sesungguhnya nikmat yang Allah bagi kepada kita amat banyak.Tidak terkira nikmat yg Allah telah kurniakan kepada kita sama ada rezeki yang tidak putus2 dan doa yang maqbul...

Bersyukur juga kepadaNYA kerana telah bagi kepada kita nikmat umur masih lagi mampu untuk kita hidup dalam salah satu bulan yang mulia yang menjadi bulan haram dalam Islam.

Allah Ta'ala telah berfirman dalam al Quran :

{ إن عدة الشهور عند الله اثنا عشر شهرا في كتاب الله يوم خلق السماوات و الأرض منها أربعة حرم ذلك الدين القيم فلا تظلموا فيهن أنفسكم } التوبة36

maksudnya:"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu..."

Dalam Islam ada empat bulan haram iaitu bulan Zulqa'dah,Zulhijah,Muharra
m dan Rejab.

Allah sebutkan dalam ayat ini فلا تظلموا فيهن أنفسكم :maka jangan kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan ini.

Maksud di sini sekiranya seseorang itu melakukan kezaliman kepada dirinya atau orang lain maka dosanya amat besar.Sesiapa yang melakukan maksiat pada bulan ini dosanya amat besar lebih daripada bulan-bulan yang lain.Dalam masa yang sama maksiat dan perbuatan zalim itu tetap berdosa di sisi Allah Ta'ala dalam bulan2 yang lain tetapi dalam bulan haram dosanya lebih besar di sisi Allah Ta'ala.

Tentunya ada hikmah kalau kita tengok 3 bulan haram yg lain berturutan tetapi Rejab terpisah jauh dari bulan haram yang lain.

Bulan-bulan haram juga termasuk dalam Syiar-syiar Islam yang besar.Oleh sebab itu,sesiapa yang membesarkan bulan Rejab dan tiga bulan yang lain adalah tanda ketakwaan kepada Allah Ta'ala sebagaimana firman Allah Ta'ala.

ومن يعظم شعائر الله فإنها من تقوى القلوب) سورة الحج 32)

Maksudnya:"Sesiapa yang membesarkan Syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia tergolong daripada hati-hati(orang-orang) yang bertaqwa'

Apabila kita bercakap tentang bulan Rejab kita akan dapati ada dua puak yang berbeza pendapat tanpa meraikan antara satu sama lain dan tohmah tanpa soal selidik dengan ta'asub tanpa dalil.

الدين المعاملة الدين المعاملة

Dua tiga kali syekh ulang perkataan ini yang membawa maksud : muamalat yang baik juga termasuk dalam agama.(agama bukan khusus pada ibadah solat puasa sahaja).

Kita akan dapat lihat puak yang ta'asub dengan satu pendapat ini adalah jumud dan tidak mahu langsung menilai hujah dan kaji selidik daripada pihak yang lain serta mengenepikan dalil daripada alQuran dan hadith.

Wahai sidang jemaah sekalian,

Hendaklah kita adil dalam ilmu.Cuba jangan ta'asub pada satu-satu pendapat dengan sentiasa berada di tengah-tengah dalam perkara-perkara khilaf.

Dua puak yang saya maksudkan ialah:

1. Puak yang melampau dalam menyambut bulan Rejab sehingga mengatakan ia adalah bulan yang paling mulia,bulan Allah,bulan wahyu yang pertama diturunkan dan macam-macam lagi dengan membawa dalil yang dhoif atau mereka-reka dalil dengan menasabkan kepada Rasulullah S.A.W .

Syekh Ibn Hajar al Asqalani telah menulis satu buku dengan menyebut bahawa kebanyakan hadith yang menceritakan fadhilat bulan Rejab adalah dhoif dan maudhu'.

Yang mengatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan mulia adalah menyalahi sunnah kerana telah thabit bahawa bulan Ramadhan adalah sebaik-baik bulan,penghulu bagi segala bulan.

Manakala bulan Allah ialah bulan Muharram.

Maka sebahagian daripada mereka mencipta hadith-hadith yang palsu untuk menggalakkan manusia berlebih-lebih dalam menyambut bulan ini.

Ada yang mengatakan sunat untuk solat Raghaib pada malam Jumaat pertama pada bulan Rejab.Sesungguhnya ini adalah satu dosa dan jenayah yang besar kerana telah menipu Allah dan RasulNYA kerana Baginda SAW tidak pernah mengajar solat begini!!!
Ada yang mengatakan puasa hari pertama dapat ganjaran begini.hari kedua begini.hari ke 15 begini.hari ke 25 begini.hari 27 begini.Dengan menciptakan hadith yang palsu pada menerangkan fadhilat hari tersebut.Ini adalah satu jenayah yang cukup besar dalam Islam sebagaimana telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W :

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya:"sesiapa yang sengaja menipu ke atasku maka sesungguhnya dia telah menempah tempat dalam neraka"

Andai kita mahu puasa pada hari-hari tersebut maka jangan sekali-kali menipu dengan menasabkan kepada Rasulullah S.A.W .silakan beribadah mengikut piawai dan janji yang benar dari Rasulullah S.A.W .

Hendak tahajud dan solat sunat.Silakan.Tetapi jangan melampaui sehingga mereka-reka ibadah yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W .Amalkan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W !!!

2. Puak yang terlalu strict sehingga menafikan fadhilat bulan Rejab.

Hadith yang melarang puasa pada bulan Rejab adalah hadith yang dhoif dan tidak wajar untuk di bawa berhujah.

Kalau kita selidik sejarah Rasulullah S.A.W sendiri telah mengiktiraf kemuliaan bulan Rejab ini daripada bulan-bulan yang lain.

Dalam hadith yang sohih ada menceritakan suatu hari seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W kenapa Baginda banyak berpuasa pada bulan Sya'aban lalu Baginda menjawab:

ذاك شهر بين رجب و رمضان غفل الناس عنه فيه
Maknanya:bulan tersebut(Sya'aban) adalah di antara Rejab dan Ramadhan yang manusia lalai padanya.

Dapat difahami di sini,para sahabat bersungguh-sungguh dalam beribadah bulan Rejab dan Ramadhan sehingga terlupa bulan Sya'aban sehinggalah ditegur oleh Rasulullah SAW dengan menunjukkan contoh tauladan yang terbaik untuk umatnya.

Mereka bersungguh-sungguh dalam beribadah memuliakan bulan Rejab kerana ia salah satu daripada bulan-bulan haram.

(ada lagi dalil yang dibawakan oleh syekh tentang kelebihan bulan Rejab mengikut dalil yang sohih tetapi ana terlupa)

Kesimpulannya; Rasulullah S.A.W dan para sahabat mengambil berat dengan kedatangan bulan Rejab kerana akan datang selepas itu ialah sebaik-baik bulan iaitu Ramadhan.

Dengan memperbanyakkan puasa,solat sunat,membaca al Quran dalam bulan Rejab ini adalah satu latihan untuk menghadapi bulan Ramadhan yang akan disambutnya dengan penuh gembira dan senang hati.

Hendaklah apa yang kita hendak lakukan pada bulan Ramadhan nanti kita sudah mulakan di bulan Rejab dan Sya'aban ini sama ada puasanya,solat dan amalan-amalan sunat yang lain.

Telah sepakat dalam mazhab Hanafi,Maliki dan Syafie sunat untuk membanyakkan puasa pada bulan Rejab.

Maka jangan sesekali kita melarang orang untuk melakukan ibadah yang tidak menyalahi amalan Rasulullah S.A.W .

Kalau kita lihat para sahabat Rasulullah S.A.W.dan salaful saleh,mereka telah menunggu dan bersiap sedia untuk masuk bulan Ramadhan enam bulan sebelum Ramadhan datang dengan doa mereka:

اللهم بلغنا رمضان اللهم سلمنا الى رمضان وسلم لنا رمضان وسلمنا في رمضان وتسلمه منا متقبلا


Kesimpulannya,tidak salah untuk kita memperbanyakkan ibadah pada bulan Rejab ini dengan tidak mengkhususkan pada bulan Rejab sahaja tetapi juga boleh dilakukan pada bulan-bulan yang lain bagi menghadapi bulan yang paling mulia iaitu Ramadhan Mubarak yang ada padanya malam lailatul qadar.

Wallahu ' Alam
Mohamad Nurul Hafiz bin Ab Latif,
Universiti Umm Qura,
Makkah al Mukarramah
+966501272045
6 Rejab 1431H