I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, July 23, 2010

Fadhilat dan Bid'ah bulan Sya'aban

Alhamdulillah hari ini dapat kembali solat Jumaat di tanah haram yang penuh barakah, Makkah al Mukarramah. Seperti biasa aku taraddud nak solat Jumaat di mana.Masjidharam? Masjid Faqih pula yang jaraknya lebih kurang 7km pergi,7km pulang=14km agak jauh tu.Tambah-tambah dengan kenaikan minyak petrol oleh Najib ini agak memeningkan kepala,tetapi di sana khutbahnya agak istimewa dan memberi kesan pada jiwa. Emm,atau solat kat Masjid tak jauh dengan rumah aku. Petrol tak habis,boleh jalan kaki aje.

Lalu aku mengambil keputusan ke Masjid Faqih kerana hendak tahu infomasi terbaru daripada Imam yang juga tok guru aku di jamiah merangkap Yang dipertua Majlis Perbandaran Bandar Aziziah Syeikh Doktor Ahmad Al Murai'.Rasanya tak perlu aku nak mengira dengan Allah Ta'ala petrol dan waktu perjalanan.Tak patut kita mengira dengan Allah Ta'ala.Nanti tak pasal-pasal Allah mengira dengan aku,kat mana aku nak hidup…huhuhu.

Pergilah aku gedek-gedek dengan Ferrari buruk aku ke sana.

Alhamdulillah seperti yang dijangka,Dr Ahmad Murai' membaca khutbah Jumaat pada minggu ini.Berbunga hati aku.Harap-harap syeikh akan menceritakan tentang fadhilat bulan Sya'aban pula.

Alhamdulillah Allah memperkenankan harapan aku apabila syeikh bercakap tentang tajuk yang aku tunggu-tunggukan.Kisahnya begini.

Al Fadhil Syeikh memulakan dengan pujian kepada Allah Ta'ala dan bersyukur kerana Allah menemukan kita pada bulan yang cukup agung iaitu bulan Sya'aban.Bulan yang mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Oleh sebab itu Rasulullah S.A.W dan para salafus soleh amat mengambil berat tentang kelebihan bulan ini kerana ianya mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah Ta'ala.

Kalau kita kembali kepada sejarah Rasulullah S.A.W di mana Baginda telah berpuasa penuh pada bulan ini kecuali sehari atau dua hari Rasulullah S.A.W tidak berpuasa.Begitu juga para sahabat dan salaful soleh yang datang selepas zaman Baginda,mereka meningkatkan amalan mereka terutama memperbanyakkan puasa pada bulan ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW.

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم وما رأيت رسول الله استكمل صيام شهر إلا رمضان وما رأيته أكثر صياما منه في شعبان… رواه البخاري ، ومسلم،

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kami menyangka baginda tidak akan berbuka, dan apabila baginda berbuka, kami menyangka baginda tidak akan berpuasa lagi, dan aku tidak melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan kecuali pada bulan Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda berpuasa pada hari yang paling banyak melainkan pada bulan Syaaban. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tetapi sayang,sejak dahulu sehingga kini,umat Islam lalai dan tidak ambil endah tentang kebesaran dan kelebihan yang ada pada bulan Sya'aban ini.Suatu hari ada seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W kenapa Baginda banyak berpuasa pada bulan Sya'aban ini.Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

ذاك شهر بين رجب و رمضان غفل الناس عنه فيه

Maknanya:bulan tersebut(Sya'aban) adalah di antara Rejab dan Ramadhan yang manusia lalai padanya.

Sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi para sahabat lalai dan tidak embil endah tentang kelebihan bulan Sya'aban sehinggakan mereka pelik melihat Rasulullah S.A.W memperbanyakkan ibadah pada bulan yang mulia ini sama ada ibadah puasa,solat dan sebagainya.Di mana para sahabat bersungguh-sungguh dalam beribadah pada bulan Rejab kerana ia bulan haram dan bersungguh-sungguh juga pada bulan ramadhan kerana ia penghulu segala bulan.Bulan Sya'aban mereka lalai untuk menambahkan ibadah.Sehingga sekarang pada zaman kita ini umat Islam tidak juga mengambil endah kebesaran beribadah pada bulan ini.Kita tengok ramai dari kalangan kita yang tidak tidur pada waktu malam tetapi tidak solat walaupun dua rakaat solat tahajjud.Apa salahnya kalau kita ajak ahli keluarga kita untuk berkumpul bersama dengan tutup seketika television dan solat berjemaah bersama keluarga solat tahajud.Kemudian apabila hampir Subuh ajaklah mereka bersahur untuk puasa sunat keesokan hari.(betul2 kena atas kepala aku)

Kenapa Rasulullah S.A.W memperbanyakkan ibadah pada bulan Sya'aban ini?Apakah kelebihan bulan yang mulia ini?

Rasulullah S.A.W menyebutkan dalam satu hadith baginda:

عن أسامة بن زيد رضي الله عنهما قال: قلت يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من شعبان، فقال: ذاك شهر تغفل الناس فيه عنه، بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، وأحب أن يرفع عملي وأنا صائم… رواه النسائي.

Maksudnya :Dari Usamah bin Zaid RA berkata:Aku telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W katanya:Wahai Rasulullah S.A.W,aku tidak melihat Engkau berpuasa pada bulan-bulan yang lain sebagaimana Kamu berpuasa pada bulan Sya'aban.

Rasulullah S.A.W menjawab: bulan tersebut(Sya'aban) adalah di antara Rejab dan Ramadhan yang manusia lalai padanya.Ia ialah bulan diangkat amalan-amalan(hambaNya) ke sisi Allah Ta'ala.Dan aku suka amalan-amalan aku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.direkodkan oleh an Nisai.

Maksudnya di sini Allah Ta'ala telah mengangkat amalan-amalan hambaNya pada bulan Sya'aban.Di mana ada amalan yang diangkat oleh Allah Ta'ala setiap hari iaitu pada waktu Subuh dan Asar,ada yang diangkat setiap minggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis dan ada amalan yang diangkat sekali setahun iaitu pada bulan Sya'aban.

Rasulullah S.A.W suka ketika amalan Baginda diangkat ke sisi Allah Ta'ala dalam keadaan Baginda berpuasa.Oleh sebab itu Rasulullah S.A.W banyak berpuasa pada bulan Sya'aban dan hari Isnin dan Khamis.

Dan dikatakan juga bahawa puasa sehari pada bulan ini menyamai puasa dua hari di bulan yang lain kecuali puasa Ramadhan.

Bulan ini juga dikenali oleh para salafu soleh sebagai bulan mengaji al Quran.Di mana mereka membaca dan tadabbur al Quran lebih daripada bulan-bulan yang lain selepas daripada bulan Ramadhan.

Ini kerana ia adalah persediaan awal menyambut bulan Ramadhan.Apabila datang bulan Ramadhan,badan kita sudah bersiap sedia untuk kewajipan ibadah puasa Ramadhan yang maha besar.Begitu juga bila sudah tiba Ramadhan,jiwa sudah tidak berat untuk membaca dan tadabbur al Quran.Dan diri sudah tidak berat untuk perbanyakkan solat malam dan solat tarawih kerana sudah mendapat latihan yang cukup pada bulan-bulan sebelumnya.

Kalau kita tengok orang yang bertani,mustahil mereka mendapat hasil tuaian yang banyak andai kata dalam satu bulan hendak menabur,membaja dan menuai.

Oleh sebab itu ada ulama' mengatakan bahawa bulan Rejab ialah bulan menabur,bulan Sya'aban bulan membaja dan bulan Ramadan bulan menuai.

Bagi mereka yang sudah bersiap sedia menyambut ramadhan dengan memperbanyakkan puasa dan solat sunat pada bulan sebelumnya maka ia akan mendapati kemanisan beribadah pada bulan Ramadhan.

Antara kelebihan bulan Sya'aban lagi ialah malam 15 Sya'aban.Disebutkan dalam hadith yang telah disohihkan oleh Syeikh Muhaddith Albani bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

( إن الله يطلع في ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن )

Maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala telah meninjau (hamba-hambaNya) pada pertengahan bulan Sya'aban maka Allah mengampunkan semua dosa makhluk-makhlukNya kecuali orang yang syirik (kepada Allah) dan bergaduh (sesama manusia)".

Pada malam 15 Sya'aban Allah akan mengampunkan semua dosa-dosa hamba-hambaNya kecuali orang syirik kepadaNya dan yang bermusuh sesama manusia.Maka di bulan yang mulia ini marilah kita bermaafan sesama saudara mara,sahabat handai semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang diampunkan dosa oleh Allah Ta'ala.

Di bulan Sya'aban juga kita digalakkan untuk mengeluarkan zakat dan memperbanyakkan sedekah sebagaimana Imam Syafie berkata:"Aku amat suka jika orang kaya mengeluarkan zakat mereka kepada fakir miskin di akhir bulan Sya'aban untuk memberi kekuatan ekonomi kepada fakir miskin di bulan Ramadhan nanti".

Maka sama-samalah kita memperkasakan ibadah kita kepada Allah Ta'ala di bulan yang mulia ini yang amsih berbaki beberapa minggu.

Masuk khutbah yang kedua.

Syeikh memulakan khutbah dengan membacakan hadith yang masyhur iaitu:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ بَعْدِي الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ ، وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ , وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ "

Maksudnya: "Hendaklah(WAJIB) kamu mengikut sunnah Aku dan Khalifah-khalifah yang datang selepas daripada aku yang mendapat petunjuk ,dan gigitlah sunnah (Aku dan para khalifah) dengan gigi gerham(iaitu bersungguh-sungguh dalam mempraktikkan sunnah),Jauhilah daripada melakukan perkara-perkara baru(dalam ibadah) Sesungguhnya setiap perkara baru(dalam ibadah) ialah Bid'ah".

Sesungguhnya agama Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W ini adalah agama yang telah diredhai oleh Allah Ta'ala,telah diturunkan secara sempurna oleh Allah Ta'ala dan diajarkan kepada kita secara menyeluruh oleh Rasulullah S.A.W .Di mana ia tidak perlu untuk dicipta ibadah yang baru untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian daripada kita.

Dalam kesungguhan kita menyambut bulan Sya'aban yang mulia ini ada yang melampau-lampau sehingga mencipta hadith-hadith palsu tentang fadhilat amalan pada bulan Sya'aban ini.

Antaranya ada yang mengatakan bahawa pada 15 Sya'aban hendaklah 'Solat alFiyah' iaitu solat seribu.Solat ini dilakukan antara maghrib dan Isya' pada 15 Sya'aban sebanyak 100 rakaat.Setiap rakaat dibaca selepas surah al Fatihah 10kali surah al Ikhlas.Di mana dibaca 1000kali semuanya surah al Ikhlas dalam solat tersebut.

Sesungguhnya hadith yang mengsyariatkan solat ini adalah hadith Munkar dan Maudhu'(palsu) yang sama sekali tidak boleh diamalkan atau dibawa berhujah!

Begitu juga solat enam rakaat antara Maghrib dan Isya' pada 15 Sya'aban adalah ibadah yang tiada sumber dalam agama kita.Tidak patut sama sekali kita melakukannya kerana ia adalah satu pembohongan kepada Rasulullah S.A.W.Rasulullah SAW tidak pernah mengajarkan kepada para sahabat ibadah yang sedemikian rupa tetapi datang orang yang selepasnya mereka hadith dan menasabkan kepada Rasulullah S.A.W!

Ada orang berhujah bahawa datuk nenek kami melakukan yang demikian itu!

Bertakwalah kamu kepada Allah!Sesungguhnya ibadah bukan atas rekaan manusia tetapi ia mestilah bersumberkan daripada Al Quran dan al Hadith!

Masih adakah orang yang lebih rapat dengan Allah Ta'ala selain daripada Nabi kita Muhammad SAW?Maka jika kita hendak mendekatkan diri kepada Allah maka ikutlah sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W dan jangan sama sekali mereka-reka ibadah kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.Sesungguhnya melakukan ibadah yang direka oleh manusia tidak ada nilai dan harga di sisi Allah Ta'ala sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد. (رواه البخاري ومسلم)

Maknanya :“Sesiapa yang mereka-reka dalam urusan kami ini (agama) satu perkara yang bukan daripadanya (ajarannya), maka ia (perkara tadi) ditolak (tidak diterima Allah)”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim .

Hendak kita mendekatkan diri kepada Allah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.Janganlah kita termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah di akhirat nanti padahal di dunia ia seorang yang banyak beramal tetapi amalan tersebut tidak ada nilai di sisi Allah sama seperti debu-debu yang bertebangan.

Wallahu 'Alam

No comments: