I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, July 23, 2009

selsema babi:3 Golongan tidak dibenarkan mengerjakan haji

Oleh : mohd naim mohd zain

KAHERAH: Menteri Kesihatan Arab menasihatkan orang tua, kanak-kanak dan mereka yang berpenyakit kronik mengelak daripada mengerjakan haji tahun ini bagi memperlahankan penularan wabak selesema babi..

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat tergempar di Kaherah yang berlanjutan awal pagi tadi.

Kira-kira tiga juta jemaah haji mengunjungi Makkah dan Madinah pada setiap musim haji.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, kematian akibat virus H1N1 meningkat sekali ganda dalam tempoh tiga minggu kepada lebih 700 daripada kira-kira 300 orang.

Menteri Kesihatan itu berkata jika vaksin H1N1 diperoleh sebelum musim haji, jemaah perlu menyertakan laporan imunisasi untuk mendapatkan visa haji.

Sunday, June 14, 2009

Syiir Abdullah bin Mubarak untuk sahabatnya Fudhail bin 'Iyadh

ياعابدَ الحرمينِ لوْ أبصرتنـاَ لَعَلِمتَ أنَّك فَي العِبَادَة ِ تَلْعَبُ

منْ كانَ يخضبُ جيدهُ بدموعِه فَنُحورُنَا بِدِمَائنَـا تَتَخَضَّـبُ


أوْ كانَ يُتعبُ خيلهُ في باطـلِ فخيولُنا يومَ الصبيحة ِ تَتعـبُ

ريحُ العَبِيرِ لَكُمْ وَنَحنُ عَبِيرُنَا رهجُ السنابِكِ والغبارُ الأطيبُ

ولقدْ أتانَا مـنْ مقـالِ نَبينَـا قَولٌ صَحِيحٌ صَادِقٌ لا يَكْذِبُ


لا يَستَوي غُبَارُ خَيِل الله فِـي أنْفِ امرِىء وَدُخَانُ نَارٍ تَلْهَبُ


هَذَا كَتَابُ الله يَنْطِـق بَيْنَنَـا لَيْسَ الشَّهِيدُ بِمَيِّتٍ لاَ يَكْـذبُ

Wahai Abid Haramain jika kau perhatikan kami
Kau akan mengetahui Sesungguhnya kau hanya bermain main dengan ibadah mu
Anda hanya mengalirkan air mata dipipinya
Maka leher leher kami pula mengalir darah
Ataupun orang yang meletihkan kuda nya kepada kebatilan
Maka kuda kuda kami telah pun letih diwaktu pagi(dalam sengitnya perang)
Bauan yang wangi bagi kalian
Namun wangian kami ialah kepulan debu yang diterbangkan kaki-kaki kuda
Sesungguhnnya telah datang kewajipan jihad kepada kami dari sabda nabi
Perkataan yang betul benar dan tiada dusta
Tidak sama antara debu kuda Allah pada hidung seseorang dengan asap api neraka yang menyala-nyala
Inilah kitab Allah yang bertutur antara kita
Bukannya dusta bila orang yang syahid itu tidak mati

Monday, May 11, 2009

Jalan-jalan

on the way home from Taif,
sempat singgah masjid Miqat Qarn al Manazil
kalau kat Jordan dulu,buah ni memang
favourite,DURRAQ namanya(peach)
mutawwif pujaan hatiku
di masjid terapung,Jeddah

dari kiri: kak niza,me and kak shazina
depan main campus Umm Qura Univ,Makkah

makan-makan dengan Ust Sulaiman dan isteri
Pengarah MSD Jordan

obhur,Jeddah
kebun di Syafa,Taif
-main masuk je kebun orang:)-
buah-buahan di Syafa,Taif yang sgt
segar dan murah


Oleh sebab blog ni dah bersawang...kami masukkan jugala gambar sikit-sikit....oklah tu,ada aktiviti juga kan ^_^
sekarang ni musim mid exam..so takla sibuk mana,cuma nk update blog je malas sikit...skit je:)
Ni pun tolong mutawwif pujaan je tulis skit2...
walaupun ku habiskan banyak masa di rumah,tapi sejak kebelakangan ni dah ada kerja nak buat,antaranya abang suruh ulang quran...rajin-rajin asah balik yang dh hafal...jangan kufur nikmat...dan beberapa lagi nasihatnya supaya ku tak lupa diri walaupun berada di tanah haram...hurm..
kejatuhan,kerundungan,kemurungan,kegagalanku antaranya ku rasakan sebab ku dah beransur leraikan tali pengikat 'unta'ku...sebagaimana dalam hadis....mafhumnya lebih kurang yang ku ingat,quran ibarat unta liar,kalau tidak ditambat, ia lari....ku ingat mafhumnya sebab dulu ku selalu baca hadis tu yang diframe tergantung dalam dewan makan MTANT.....
Dah tahu macam tu,malas macam pe3at(bahasa ibu2 di kampung) nak mengeluh pun tak guna...mengeluh tak jadi apa pun ....kita cuba baiki diri la kan...insyaAllah Allah tunjukkan jalannya..dan semoga Allah mudahkan jua hasratku untuk masuk kelas balik,bergelumang dengan buku dan kitab balik....Allahumma yassir wa la tu3assir ya Kareem....Allahumma taqabbal..amin

Lastly,Selamat Hari Ibu and becoming Hari Bapa buat ibu bapa kami di Malaysia..semoga kalian sentiasa di bawah lindungan Allah dan di dalam peliharaannya...dan semoga Allah membalasi kalian dengan ganjaran syurga yang tidak terbayang dek kelima-lima pancaindera untuk menggambarkan nikmatnya....amin

Wednesday, March 11, 2009

Jangan dipermainkan nama Allah yang Maha Suci

Kata Ustaz Taib:

Dalam kontek Malaysia ia (penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam) akan menyebabkan kekeliruan kepada anak-anak dan keturunan kita akan dating tidak sama seperti di Eropah atau tempat lain.

Beliau menambah:

Allah yang dimaksudkan oleh agama lain berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

Berikut adalah petikan dari hansard Parlimen:

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri serta permintaan sahabat-sahabat. Saya terpanggil untuk bercakap ini bukan dia atas bermaksud dengan kepartian. Akan tetapi, lebih fokus kepada kesucian Islam itu sendiri. Itu terpulang kepada tafsiran oranglah kalau dia hendak meletakkan kedudukan di mana yang sekali gus juga menghormati pandangan yang diberi oleh Yang Berhormat Bintulu.

Sebenarnya persoalan ini mungkin kita tidak begitu selesa sangat perbahasan dan
penghujahannya kita gunakan dalam Dewan ini. Kalau pun ia selepas kita dapat hadamkan di luar, di tempat lain bahawa kita confirmkan
di Dewan tetapi walau macam manapun, saya faham daripada apa yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Shah Alam, Yang Berhormat Kuala Selangor dan sahabat-sahabat yang lain.

Sekarang ini yang sebenarnya perlu kita dapat penjelasan, Allah yang mana yang kita
perbincangkan ini tapi kalau Allah S.W.T yang berkonsepkan tauhid dengan Allah hus samad...

Dia tauhid As-samadiah dengan tauhid al-ahadiah yang bergantung rapat dengan yang lain-lain, uluhiah dan rububiah hanya ada pada Islam dan tidak ada pada yang lain. Sebab itu kalau kita nak bahaskan masalah Allah yang disebut dalam Al-Quran, kita kena lihat juga sababul nuzul dan kalau kita nak buka mengenai Allah kepada yang lain-lain, Al-Quran juga pernah mendedahkan dalam surahtul Taubah... [Membaca sepotong ayat Al-Quran]

“Orang Yahudi dia kata, Uzir anak Allah. Orang Kristian dia kata Al-Masih anak Allah”.
Daripada penjelasan ringkas ini, kita nampak Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi lain
daripada Allah tauhid kita. Allah yang dimaksudkan oleh orang-orang Masihi dan orang-orang lain adalah lain daripada Allah yang dimaksudkan oleh Islam sebab ketauhidan as-samadiah dan alahadiah itu tidak menjadi suatu tonggak kepercayaan kepada yang lain daripada Islam. Sebab itu bagi yang agama lain tadi dia mendakwa itu sedangkan kita Allah bukan ada anak, tidak diperanakkan dan tidak beranak. Jadi, ini persoalannya. Jadi yang saya rasa ialah pihak kementerian, pihak kerajaan mesti menegaskan Allah dalam bentuk mana.

Kalau kita cakap Allah dalam bentuk umum, betullah kita boleh dakwa. Orang Hindu,
orang Kristian, orang lain pun dia kata kita tuhan Allah juga. Jadi Allah yang mana? Jadi mungkin di sini kita perlu mendapat suatu garis panduan yang jelas yang kita kata tak boleh digunakan oleh orang lain itu Allah dalam kedudukan mana tapi kalau Allah dalam kedudukan Islam yang ahadiah dan as-samadiah, memang tak boleh orang lain guna yang saya rasa ini wallahualamlah. Apa yang saya nampak daripada sudut itu, jadi kalau itu kita boleh terima, sebenarnya kita tidak ada pertelingkahan apa-apa. Cuma yang kita hendak sekarang ialah penegasan daripada pihak kerajaan daripada sudut mana, Ilah kita dan saya rasa dalam perbahasan ini agak tak berapa munasabah kalau kita bawa daripada segi bahasa.

Bahasa Ilah, bahasa... hak itu panjanglah isu kita. Sebab itu kalau kita lihat dalam kitab-kitab yang sempat dirujuk, pertelingkahan ini berlaku atau khilaf ini berlaku di antara ulama-ulama yang lebih muktabar daripada kita sekarang tetapi semuanya memberi hujah-hujah yang kenapa mereka kata boleh dan kenapa ada yang mereka kata tak boleh. Dalam kita menangani di antara dua perselisihan pendapat ulama muktabar ini, maka apa yang perlu bagi kita sekarang ialah kita perlu memahami wakik. Wakik kita di Malaysia mahu tidak mahu dengan ketimuran kita, dengan budaya Melayu kita sebelah sini dan juga budaya orang kita lain daripada yang berlaku di Eropah atau berlaku di dunia lain.
Wakik kita yang saya yakin setakat hari ini, wallahualam akan datang akan menjadi satu
confuse, akan menjadi suatu pertelingkahan dan perbalahan yang mungkin sengit apabila benda ini dibuka ke mana-mana. Misal kita katakan, minta maaf kepada saudara-saudara kita yang bukan Islam sama ada dalam agama Buddha, dalam agama Hindu ataupun Kristian dan sebagainya, andai kata saya bertanya kepada sahabat saya yang beragama Hindu,

“Sahabat, kamu nak pergi mana?” “Saya nak pergi sembah Allah”. Tanya pula sahabat saya Yang Berhormat Batu Pahat ataupun Yang Berhormat Sri Gading, mana nak pergi “Saya nak pergi sembah Allah”.

Jadi ini confuse kepada anak dan keturunan kita. Allah yang mana ini?... [Tepuk] Allah
yang nak pergi kah, ini kah Allah, yang mana?...

Saturday, March 7, 2009

"Nak pandai english belajarlah bahasa inggeris,Kenapa kena belajar Sains Matematik dalam english?"


 Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu.

Peristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu.


ppsmi march 070309 crowd.jpgMereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh fasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 8,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi.

Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di sekitar Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk utama Istana Negara.


Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI jam 2.50 petang.

Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini menerima memorandum bersejarah itu di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Bercakap kepada media selepas penyerahan, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan.

"Saya berjalan, sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya.

anti ppsmi rally 070209 pak samad chokesTambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan mengalami keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan).

Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang, katanya lagi.

Cerita cerita ini akan menjadi lagenda rakyat hingga ke anak cucu cicit.

Saturday, February 28, 2009

Ibu Mithali

daripada:
Nur Azam Mustaffa
NSN Saudi Arabia
Saudi: +966509736897
Msia: +60124992212

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Mithali". Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi. "Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. " Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput? Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas. Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.' Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak. Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam. Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini." Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu. "Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya"

"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Misali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi." Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran. "Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman. "Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah.

Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak." "Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun." Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya. "Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an.

Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka." "Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri."

"Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya "Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!""Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka.""Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"

"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya. "Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong. Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka.

Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya." "Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun. “Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi.""Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu. "Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak. Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah. Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka." Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.

"Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air. Penat saya membersihkannya. "

"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan." "Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak." "Mirah!" Ibu merangkul saya. " Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah.""Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku.

Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal. Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami." "Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain." "Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah." "Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah. "Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak." "Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu.""Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak. Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak.""Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."

"Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah."

"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu." "Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru." "Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah." "Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. "Mirah."

"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur." "Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah"

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu. "Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak." Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya. "Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. ..."

"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis. Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara. Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut. "Kenapa Mirah tolak tawaran itu?" "Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?" "Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! " "Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?" Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya. "Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak." "Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya. "Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin. Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.

Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa. Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat. ”Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas.

Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak." "Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya." "Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak.

Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah." "Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu. Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?" "Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya. "

"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka. Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah "Ibu Mithali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu Mithali" yang lain. "Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain.

Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah." "Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Mithali" pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan."

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental." "Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak."

"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara. Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain. 'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'

Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku. Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula. "Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan "Ibu Mithali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Mithali" serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan. "

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi. Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan.

Air mata Puan Afifah berladung. Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu Mithali" sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir itu.

OLEH NORHASHIMAH HASHIM

Tuesday, February 24, 2009

Revolusi Cinta

Revolusicinta-e

“Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.

Keras bunyinya.

Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.

“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

s0102

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.

Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.

Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.

“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

7_163

“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A'araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

“Asfala saafileen,” kata al-Quran.

Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

2_65

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.

Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

33_53

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

2245

Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

“Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

33_53-i

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

kerabunga

source

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang